Friday, December 7, 2012

Rakyat perlu menghijrahkan kerajaan dari yang lama kepada yang baru- Tahun 2013



Dalam usia berkeadaan gigi gompong sanun dan gompong sini,juga uban di kepala sejomput disini dan sejomput disanun,misai telah pun berterabor, maka ketika ini amat sesuai berazam lebih awal kerana dikhuatiri usia tidak sampai ke tahun 2013 dan tidak kesampaian meluahkan perasaan yang membeku tetapi membahang.

Azam tahun 2013 ialah berdoa dengan penuh harapan, akan lahir  kerajaan baru dan tumbanglah kerajaan yang ada. Tentu tidak berdosa kita berdoa dari baik kepada yang lebih baik(insaallah).Mengikrarkan diri bahawa tahun ini (2013) adalah tahun rakyat Malaysia menerima penghijrahan kerajaan,yang selama ini biasa dilakukan oleh individu manusia. 


Kita kesal kerajaan yang ada hanya mengaku hanya ada kesilapan, tetapi tidak berusaha memberitahu atau menyenaraikan kesilapan untuk pengetahuan umum.Sikap dasar menyurukkan makumat yang salah diteruskan.Mulut media ditutup bagi maklumat buruk seperti ini.Orang ramai perolehi makumat dari media alternatif dan media sosial.Dendam rakyat kepada kerajaan lebih membara apabila diberitahu atau mengetahui sendiri keburukan orang kerajaan dan kerajaan sendiri. 


Perhimpunan parti hanya berjaya melahirkan pemimpin/wakil yang berjaya menyinsing lengan dan kain, bagai wanita digelanggang pergaduhan, yang lebih cakap menjerit-jerit memanggil semangat dari tindakan.Tidak ada perwakilan bercerita dan mengaku kesilapan parti dan pemimpinnya untuk di perbetulkan.


Oleh itu dengan tekad yang baru di tahun 2013 ini tidak usah diberi ruang kepada pemimpin “umpama kera lotong makan,tupai di julai timpa perasaan”.


Tidak usah mendengar kata-kata “lebih baik syaitan yang dikenali” kerana syaitan sebagaimana firman Allah, adalah musuh manusia yang nyata.Kita tidak tahu manusia yang bercakap seperti ini berpegang kepada apa ikutan agamanya, mungkin berprinsip Al Quran ditaati dan diyakini bila perlu.


Cakap-cakap yang menakut-nakutkan rakyat oleh mereka yang sekarang mabuk kuasa dan mabuk harta tidak perlu dipedulikan, kerana mereka yang bercakap  bertujuan hendak meneruskan sikap 80% untuk mengaut keuntungan diri dan 20% untuk perkhidmatan. Kita anggap menteri atau pemimpin kerajaan yang kerja menakutkan rakyat bagai “mercun buluh senapang bambu,kepada saya jangan dituju”.


Umpan yang diberi kepada rakyat hendaklah ikut resmi “anak seluang, umpan di makan habis, badan tak lekat di kail”. Wang yang di agih bukan meluakkan wang poket atau wang simpanan Najib.Tidak perlu berterima kasih kepadanya, sebaliknya berterima kasih kepada Allah yang telah memberi rezeki melalui kekuatan parti pembangkang. 


Dengan kekuatan parti pembangkang, akan terus berlumba-lumba kerajaan, yang selama ini tidak pernah mengungkit janji, untuk berbudi kepada rakyat. Satu rahmat dan satu nikmat yang telah Allah kurniakan kepada rakyat Malaysia.


Bertukarnya kerajaan baru maka bertambah koleksi kerajaan-kerajaan dalam negara, yang biasanya kita mendengar negara luar menukar kerajaan bagai menukar baju setiap hari dan bagai menukar resepi di dapur mengikut selera.


Menukar kerajaan menjadikan agenda baru masyarakat moden dan intelektual.Tidak bergantung harap kepada satu kerajaan berpuluh tahun.Kita semua maklum kiranya terlalu lama seseorang atau kumpulan individu itu berkuasa,maka mereka akan mengambil kesempatan keuntungan diri.


Lihat apa yang berlaku kerajaan-kerajaan diluar negara yang memerintah lebih 40 tahun seperti Iran,Iraq,Mesir, Libya Syria yang kesemua pemimpinnya berusaha mengikut telunjuk keduniaan,yang akhirnya melahirkan ilham rakyat untuk mengubah kerajaan . Kita beralih kepada kerajaan negara maju,Amerika,Jepun, Korea,Britain,Perancis dan banyak lagi contoh-contoh di negara barat yang rakyatnya menggunakan hak untuk membentuk kuasa dan kuasa yang dibentuk mengikut telunjuk rakyat, terus memberi kemajuan kepada negara dan rakyat.


Rakyat tidak perlu undur kebelakang dengan mengikut saranan pemimpin parti pemerintah dengan contoh-contoh adanya negara sudah merdeka, tetapi masih mundur,tidak ada pembangunan,kebuluran dan huru-hara dengan  rakyatnya berbunuhan sesama sendiri.


Rakyat dimestikan sedar bahawa kumpulan pemimpin-pemimpin dari parti siasah seperti ini telah menjajah minda rakyat selama 55 tahun untuk membolehkan mereka terus berkuasa.Mereka menjajah dengan idealogi songsang bahawa”inilah sahaja kumpulan manusia yang berjaya mentadbir dan membahagiakan masyarakat Malaysia” dan rakyat tidak usah melebarkan fikiran ke negara luar.Itulah salah satu sebab media Malaysia dikerajaankan dan fokus  maklumat terhadap kebaikan tuan punya media.


Anggap hujah pemimpin ini, sedang berhujah kepada rakyat sekitar  telah berusia 70 tahun ke atas, yang masih teringat makanan dan pentadbiran zaman perang dunia kedua.Pemimpin-pemimpin ini, ketika itu masih belum lahir lagi dan menceduk fakta sejarah yang dikarang dan dicipta oleh manusia satu parti,satu idealisma,dan satu tujuan dan  satu nawaitu.


Sejarah selama 50 tahun yang lalu, yang ketika itu kerajaan ini terus kesombongan memenangi pilihanraya  tanpa tentangan kuat parti lain, dan terus memerintah, belum pernah bersikap dermawan seperti dua tahun kebelakangan ini. Wang yang diberi kepada rakyat adalah mempunyai niat yang salah iaitu merupakan wang rasuah untuk memenangi pilihanraya dan bertujuan meneruskan kesinambungan pemerintahan.


Berfikir sebentar - apakah hukumnya mereka yang memberi rasuah (kerajaan) dan menerima rasuah (rakyat) berdosa atau tidak ?  


Sekiranya kerajaan “the devil you know “ini ikhlas untuk mengurangkan beban rakyat sepatutnya 50 tahun yang lalu telah mengekalkan tradisi memberi wang  tunai kepada rakyat selama 50 kali atau sekurang-kurangnya 12 kali -12kali piiharaya berlalu.


Kesombongan memenangi pilihanraya secara mudah sebelum ini, diragut oleh rakyat Malaysia semasa pilihanraya ke 12, yang mempunyai kesedaran baru tanggungjawab memilih calon dan memilih parti. Sebelas kali pilihanraya rakyat telah disogokkan oleh parti yang memerintah dengan wakil rakyat yang kerjanya “sembahyang mencari akal,rukuk mencari kira-kira “ dan menjadikan rakyat “seperti tepung dengan pengadun”.


Rakyat Malaysia wajib memilih kerajaan dengan ilmu berpoitik dan matang kerana usia kita merdeka lebih 55 tahun, yang sekiranya seusia manusia seperti ini telah lebih dewasa serta telah banyak ilmu,dan pengalaman diterima.Tidak usah fikiran minda kita dijumudkan oleh manusia lain dengan nada-nada yang beransur sumbing, serta hidangan  makanan yang serupa sepanjang hari.


Pengundi Malaysia bukan budak-budak lagi hanya cukup diberi gula-gula, dan makanan sebagai penutup mulut, agar tertidur supaya ibu-ibu dan bapa senang bergerak melaksanakan tugas.Pengundi-pengundi hari ini sentiasa berfikiran lebih jauh dari hidup senang untuk cari makan sendiri  “kepada hidup memberi orang lain makan”.Setiap individu hidup berperanan sebagai kalifah dibumi Allah mesti diteruskan, yang menjerus kepada kebaikan didunia dan kebaikan di akhirat, bukan hidup sekadar cukup untuk perolehi makanan sepanjang usia.


Lebih teruk lagi kiranya ada dikalangan pengundi jika masih lagi sepanjang hari berfikir,” apa yang kita hendak makan hari ini” sedangkan calon politik yang telah di undinya dan terpiih sebagai wakil rakyat menjadi menteri atau perdana menteri siapa yang hendak kita makan hari ini”.

No comments:

Post a Comment