Friday, June 19, 2015

aib di gelanggang sendiri.




Meletak jawatan secara sukarela bukan pengecut, tetapi sebagai jurulatih bertanggungjawab terhadap kekalahan dan kemenangan sesuatu pasukan.Kekalahan yang memalukan negara Malaysia dalam perlawanan bolasepak 0-6 kepada Palestin menunjukkan jurulatih dan pemain dalam kategori  tongong dalam bolasepak.Malaysia aib di gelanggang sendiri.

Semasa bola sepak Malaysia dalam era amatur dan liga negeri-negeri  kita banyak dan boleh memenangi peringkat asia serta terpilih ke Olimpik 1968 dan 1980, tempat ketiga sukan asia 1972 dan 1974. Kali ini bola sepak Malaysia telah masuk 22 tahun dalam era professional, rangking terus jatuh ke tempat 166 dunia. Kini di aibkan pula oleh pasukan yang negaranya huruhara. Apa hendak di jenamakan kelasnya pasukan negara.

Dalam keadaan pasukan yang terambang-ambing jurulatih merupakan punca anak buahnya menjadi pasukan yang tidak reti bermain.Semangat yang cepat luntur seolah –olah tidak kisah untuk berkhidmat kepada negara, kerana berkhidmat untuk kelab lebih menguntungkan.

Sikap pemain tidak menunjukkan kesungguhan bermain untuk pasukan negara adalah disebabkan adanya kelab yang menanti  dan menawarkan bayaran lumayan maka tidak kisah mereka tidak terpilih sebagai pemain kebangsaan.

Apa yang berlaku ketika jaringan 6 gol dilakukan oleh Palestin, kita kesal kerana tidak nampak sedikit  pun tentangan atau halangan dari pemain bahagian pertahanan Malaysia. Pemain hanya mampu melopong dengan mimik muka   kesal sambil menepuk dahi..Inilah  bukti tidak ada nilainya satu pasukan.

Contohi jurulatih kelab-kelab profesional luar negara sanggup meninggalkan kelab yang dilatihnya kiranya prestasi  pasukan bimbingannya merosot ,walaupun pendapatan untuk jawatan tersebut berjuta dollar. 

Mereka mementingkan moral atau harga diri sebagai  seorang  jurulatih profesional bola sepak.  Jurulatih pasukan Malaysia dan jurulatih kelab-kelab di Malaysia tidak sanggup berbuat demikian,kerana kepentingan cari makan. Sedikit pun tidak ada kekesalan dan malu kepada peminat atau rakyat Malaysia malahan masih mampu tersenyum membuat kenyataan akhbar.Di jolok tidak gugur di tebang tak rebah.

Peranan jurulatih merupakan salah satu faktor kemerosotan pasukan negara yang kini kehausan ke peringkat antarabangsa ke kedudukan 100 kebawah sebagaimana pada tahun 1993,Malaysia di tempat ke 75.

Oleh kerana jurulatih dan pemain tidak mahu bertanggungjawab terhadap kekalahan lebih banyak dari kemenangan, maka sebaik-baiknya pengurusan persatuan bola sepak meneliti dan bertindak menyingkirkan jurulatih dan pemain tanpa menunggu mereka bersikap sukarela berundur. 

Malaysia perlu mengorak langkah baru, dengan tidak memilih jurulatih yang telah di kategorikan  recycle berulangkali dek kerana adanya pasukan yang dilatihnya membawa kemenangan maka dipilih melatih pasukan kebangsaan.

Mewujudkan pasukan khas kebangsaan yang pemain-pemainnya tidak terlibat dengan pasukan kelab tempatan yang bergaji akan melahirkan kesetiaan kepada satu pasukan iaitu pasukan negara  sahaja.Pemain pasukan negara perlu diberi imbuhan bulanan berdasarkan apa yang ditawarkan oleh kelab tempatan.

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) perlu memiliki presiden dan krunya yang bertanggungjawab terhadap kemerosotan bola sepak sebagaimana jurulatih dan pemain perlu undur atau diundurkan.Gelaran Harimau Malaya atau Gajah Malaya tidak bernilai  kiranya pasukan  sering di aibkan oleh skuad lawan.

No comments:

Post a Comment