Friday, June 19, 2015

aib di gelanggang sendiri.




Meletak jawatan secara sukarela bukan pengecut, tetapi sebagai jurulatih bertanggungjawab terhadap kekalahan dan kemenangan sesuatu pasukan.Kekalahan yang memalukan negara Malaysia dalam perlawanan bolasepak 0-6 kepada Palestin menunjukkan jurulatih dan pemain dalam kategori  tongong dalam bolasepak.Malaysia aib di gelanggang sendiri.

Semasa bola sepak Malaysia dalam era amatur dan liga negeri-negeri  kita banyak dan boleh memenangi peringkat asia serta terpilih ke Olimpik 1968 dan 1980, tempat ketiga sukan asia 1972 dan 1974. Kali ini bola sepak Malaysia telah masuk 22 tahun dalam era professional, rangking terus jatuh ke tempat 166 dunia. Kini di aibkan pula oleh pasukan yang negaranya huruhara. Apa hendak di jenamakan kelasnya pasukan negara.

Dalam keadaan pasukan yang terambang-ambing jurulatih merupakan punca anak buahnya menjadi pasukan yang tidak reti bermain.Semangat yang cepat luntur seolah –olah tidak kisah untuk berkhidmat kepada negara, kerana berkhidmat untuk kelab lebih menguntungkan.

Sikap pemain tidak menunjukkan kesungguhan bermain untuk pasukan negara adalah disebabkan adanya kelab yang menanti  dan menawarkan bayaran lumayan maka tidak kisah mereka tidak terpilih sebagai pemain kebangsaan.

Apa yang berlaku ketika jaringan 6 gol dilakukan oleh Palestin, kita kesal kerana tidak nampak sedikit  pun tentangan atau halangan dari pemain bahagian pertahanan Malaysia. Pemain hanya mampu melopong dengan mimik muka   kesal sambil menepuk dahi..Inilah  bukti tidak ada nilainya satu pasukan.

Contohi jurulatih kelab-kelab profesional luar negara sanggup meninggalkan kelab yang dilatihnya kiranya prestasi  pasukan bimbingannya merosot ,walaupun pendapatan untuk jawatan tersebut berjuta dollar. 

Mereka mementingkan moral atau harga diri sebagai  seorang  jurulatih profesional bola sepak.  Jurulatih pasukan Malaysia dan jurulatih kelab-kelab di Malaysia tidak sanggup berbuat demikian,kerana kepentingan cari makan. Sedikit pun tidak ada kekesalan dan malu kepada peminat atau rakyat Malaysia malahan masih mampu tersenyum membuat kenyataan akhbar.Di jolok tidak gugur di tebang tak rebah.

Peranan jurulatih merupakan salah satu faktor kemerosotan pasukan negara yang kini kehausan ke peringkat antarabangsa ke kedudukan 100 kebawah sebagaimana pada tahun 1993,Malaysia di tempat ke 75.

Oleh kerana jurulatih dan pemain tidak mahu bertanggungjawab terhadap kekalahan lebih banyak dari kemenangan, maka sebaik-baiknya pengurusan persatuan bola sepak meneliti dan bertindak menyingkirkan jurulatih dan pemain tanpa menunggu mereka bersikap sukarela berundur. 

Malaysia perlu mengorak langkah baru, dengan tidak memilih jurulatih yang telah di kategorikan  recycle berulangkali dek kerana adanya pasukan yang dilatihnya membawa kemenangan maka dipilih melatih pasukan kebangsaan.

Mewujudkan pasukan khas kebangsaan yang pemain-pemainnya tidak terlibat dengan pasukan kelab tempatan yang bergaji akan melahirkan kesetiaan kepada satu pasukan iaitu pasukan negara  sahaja.Pemain pasukan negara perlu diberi imbuhan bulanan berdasarkan apa yang ditawarkan oleh kelab tempatan.

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) perlu memiliki presiden dan krunya yang bertanggungjawab terhadap kemerosotan bola sepak sebagaimana jurulatih dan pemain perlu undur atau diundurkan.Gelaran Harimau Malaya atau Gajah Malaya tidak bernilai  kiranya pasukan  sering di aibkan oleh skuad lawan.

Tuesday, June 9, 2015

ramai penyokong tidak semestinya betul.




PAS ,DAP dan PKR hendak tidur sebantal tetapi badan-badan mereka  masih berbau busuk. PAS mendakwa bau badan DAP busuk yang membuatkan mereka tidak senang lena hendak tidur bersama manakala PKR juga tidak mahu tidur sebelah PAS dengan alasan yang sama.

Nampaknya mereka sudah mula  kepala sebantal, badan sendeng kiri dan sendeng  kanan, berkeadaan gelisah  sambil merungut-rungut  yang tidak diketahui butir-butirnya.Tidak tidur melentang sama-sama ke arah siling berbincang dan berfikir hendak menambat hati penyokong mereka yang 52 % yang lalu.Mungkin 5 Mei 2013  itulah kali terakhir  mereka mengukir senyum sebelum tertidur sampai pagi .

Biasalah manusia yang masing-masing ada pendirian dan rupa, yang tidak sama bulu dan bentuk serta mustahil bentuk lonjong ,bulat dan pipih ingin mengubah  bentuk yang sedia ada kerana bentuk-bentuk tersebut adalah keperluan alam  ini.

Mencari  titik persamaan  ini yang telah menjadi penghalang kepada tiga kompenan parti yang hancur bila-bila sedangkan bersatu sukar diramal. Kepala atau ketua parti masing-masing melontarkan bait-bait kata yang boleh merungkai penyatuan.Penadol yang dimakan hanya menghilangkan pening kepala manakala pisau merobek luka-luka di jari, serta di dada dan badan tidak dapat dicampakkan.

Seminar yang berlansung  dan pemilihan pemimpin PAS sudah mula menunjukkan belang warna mana yang banyak. Belang-belang tersebut telah mempengaruh pucuk pimpinan baru untuk memandu kereta lebih laju  jarak nya dari bau hangit DAP. Kita tengokkan adakah tidak menghidu ketiak DAP itu akan bertambah harum PAS dan berjaya menambat hati ramai rakyat Malaysia.

Itulah apa yang berlaku sepanjang hari melalui media Malaysia tentang beberapa masalah terhadap parti-parti dalam Pakatan yang telah susah bermuafakat.Ketua-ketua mereka sentiasa melahirkan hujah yang tidak ada nilai pakatan melalui media.Pakatan memiliki seorang ketua yang tidak bersikap ketua  dan mereka hanya beremosi  dan melahirkan emosi  yang tidak boleh menambat kembali  perpaduan. 

PAS umpamanya ,yang di katakan memiliki  ketua berprinsip islam,yang berkeinginan mewarisi kepimpinan Nabi SAW  masih jauh tersasar lenggok Nabi SAW terutama berkaitan hubungan sederhana terhadap ketua bukan islam  dan komunikasi berlembut terhadap sesama islam dan bukan islam.

Parti ini juga menjadi sasaran kelonggaran perpaduan oleh media kerajaan yang sedia ada yang bertujuan merobek- robek biar lebih hancur dan punah agar lebih mudah terus menerajui pengundi-pengundi melayu   untuknya,(UMNO) dalam masa  sama menguntungkan MCA dan MIC.

Ketua dalam pakatan terutama PAS tentu sedar apa yang dilakukan hari ini, sekiranya masih berterusan undi yang 52% akan berpindah-pecah.Jangan teruskan parti kita duduk dalam tempurung atau dalam raga yang kawasan kelilingnya hanya mampu tempat duduk melepaskan penat.

Sekiranya Malaysia rakyatnya bersifat seperti 56 tahun yang lalu kita boleh bekerja dan berbincang ikut telunjuk kita ,walaupun dinamakan perbincangan, kerana rakyat selain orang melayu hanya menjadi 'pak turut'. Hari ini melayu dan islam terpaksa menerima hakikat bahawa bangsa lain ada hak menentukan pentadbiran negara.Sokongan mereka terpaksa ada dalam setiap parti politik yang wujud dalam negara ini.

Campakkan sifat menyalahkan orang lain sebagai pemecah-belahkan parti. Kita atau setiap individu beperanan menjadi parasit parti. Menganggap kita sahaja yang betul kerana mendapat sokongan ramai berperanan besar menghancurkan parti.