Tuesday, December 6, 2016

Alhamdulilah berakhir minggu yang meloyokan





Hari hari Selasa 06 December, 2016 sudah 3 hari, hati dan perasaan beransur lega memandang gambar-gambar  manusia baju merah dan baju biru melalui kaca TV dan muka depan akhbar tempatan.

Berakhir lima hari yang menjemukan,meloyokan memualkan, kerana satu perhimpunan di PWTC telah menjadi  tempat manusia berhimpun dengan ketua-ketua geng mereka,  umpama langit dapat dilukis, disudut kambut diserayakan, tetapi kelip-kelip terbang malam.Meluat kerana semua media utama berkiblatkan perhimpunan UMNO dan menyiarkan secara langsung, mengakibatkan kehilangan ruang maklumat yang lain.

Minggu rakyat frust ini, ramai yang iri hati kerana Mahathir berkuah sama menghirup,bersambal sama mencolek,,berlapik seketiduran,sebantal sekalang hulu dengan LimKit Siang.

Wartawan media dan setesyen TV berebut –rebut hendak menyiarkan secara langsung perhimpunan . Mereka yang waras dan tidak terpengaruh ampu bodek, tidak perlu berbuat demikian kerana tidak ada sesuatu yang istimewa sama ada isi perhimpunan atau mereka yang menyertai perhimpunan.Hanya sekadar berita mesyuarat JKKK kampung tradisional atau mesyuarat KRT taman perumahan.

Dapat kita lihat telah menjadi tempat orang umno terutama presiden ,naib presiden,ketua wanita dan ketua pemudanya melepaskan geram . Berucap sepanjang tali beruk,barangkali mereka perasan atau berangan-angan agar 30 juta rakyat Malaysia mengikutnya.

Presiden dan ahli Umno tidak terfikir bahawa ucapan mereka hanya di tonton secara langsung  oleh  3000 pewakilan dalam dewan PWTC itu sahaja, dan  berita serta lintas langsung , di TV  menjadi mangsa off dan on oleh rakyat yang memilih channel yang merelakskan minda.

Umat yang siuman akan sentiasa remove control di tangan yang berniat mengalihkan  berita individu  merapu dengan  nada mencela, mengutuk manusia lain  di saluran TV ke cerita-cerita hiburan.Mereka tidak mahu bersama dengan manusia munafik yang buat-buat lupa tiada busuk yang tiada berbau.

Ketiga-tiga orang kuat geng yang berhimpun sepanjang-panjang lorong masih pajang mulut dan membicarakan rumput di halaman orang,dihalaman sendiri hingga di kaki tangga. Pelbagai karakter dan lakonan yang terpapar di skrin TV untuk ditonton, namun karakter angkat ketiak menunjukkan adegan berkobar-kobar  yang sangat menarik.

Setiap kali perhimpunan titah ucapan perasmian atau penutup oleh presiden menjadikan berita utama media pencium buntut memaparkan headlines ucapan perasmian catat sejarah. Entah sejarah apa terlukis kerana setiap kali perhimpunan mereka yang berucap hanya  mengumpat dan mengatakan mereka yang tidak sehaluan dan mengecop mereka sebagai pengkhianat. tidak sehaluan dan keluar dari saf sebuah parti politik - itu sahaja kesalahannya, di beri pingat sebagai pembelot bangsa melayu.

Tindakan mereka yang emosi hanya menegakkan benang basah dan menegakkan sumpit kosong. Sedap mulut berucap melabelkan ahli parti yang setia lebih 45 tahun dan menabur bakti  untuk negara  sepanjang masa tersebut.

Tidak selari dengan presiden  parti kerana presiden  terbukti merebut kekayaan negara yang bukan sesuatu berita palsu. Memberi wala’ ketaatan kepada presiden dalam jangka panjang akan menjahanamkan negara kerana presiden mengambil kesempatan terhadap ketaatan membabi buta. 

Wala’ hanya kepada pemimpin yang bersih dan mempunyai ciri-ciri kehidupan seorang muslim yang dihormati semua lapisan masyarakat bukan seperti saf kepimpinan Najib Razak dan kakitangan kerajaannya.
Hanya Nabi Muhammad S.A.W  yang layak di nobat dan mempunyai sifat terbaik bai'ah wala’dan di taati  di dunia ini. Najib tidak ada sekelumit zarah pun diberi  wala’ ini, tetapi orang UMNO telah melahirkan deklarasi bahawa Najib seorang yang suci dan perlu di taati.

Adakah Najib dan pemimpin yang lain dengan rakyatnya menjadi, penjaga, pemimpin, pelindung - wala’ Pemimpin UMNO yang setia mengambil kesempatan firman  Allah Surah an-Nisa: 59 iaitu kesetiaan selagi pemimpin tidak melakukan perkara di luar batasan. Seperti kata Mahathir Nabi SAW dan keluarga tidak wang dalam simpanan 2.6 billionn dan anak beranak tidak ternilai ringgit dalam poketnya. 

“wahai orang-orang yang beriman! Taatilah Allah, taatilah Rasul dan pemimpin (yang bertaqwa) di kalangan kamu. Maka sekiranya kamu berselisih di dalam sesuatu perkara, maka kembalilah kepada Allah dan Rasul”.Barangkali, kembali kepada rasul setelah perselisihan berlaku orang UMNO menganggap kembali setia kepada Najib.Tidak mengambil pendekatan membuang yang keruh(Najib) ambil yang jernih(manusia lain)

Ketaatan yang mutlak hanya kepada Allah dan RasulNya. Adapun terhadap pemimpin yang derhaka kepada Allah tidak diharuskan kepada orang beriman memberi wala’ dan ketaatan bahkan Islam mewajibkan umatnya supaya menentang kemungkaran dan kezaliman.

Zalim bukan sahaja bertindak kejam dengan menyiksa manusia tetapi zalim terhadap rakyat terutama mereka yang miskin tidak berkemampuan di kenakan pelbagai cukai,harga barang yang tidak terkawal yang menyiksa rakyat mengawal perbelanjaan untuk  meneruskan hidup,sedangkan ketua pemimpin bersama saf kepimpinannya serta kerajaan, mampu atau boleh saja mengawal dan menghentikan kesemua yang menyusahkan.

Apa yang berlaku hari ini adalah sebaliknya,jurang kesenangan kepala pemimpin dan pemimpinnya ibarat langit dan bumi. Tidak usah kita guna pakai perkataan wala’ terhadap pemimpin Malaysia yang nyata korup dan seleweng kuasa.

Lihat kezaliman lagi!!!

Hari ini rakyat sentiasa terdesak dan sesak nafas dimana hendak mengadu atau melahirkan perasaan yang tidak puashati yang terbuku di dada melainkan kepada pemimpin lain seperti pembangkang yang mahu melayan kerenah si miskin.

Kekejaman kerajaan berterusan apabila ada pemimpin pembangkang yang melahirkan hasrat rakyat dan memaparkan kebobrokan presiden Umno telah di nyah ke dalam penjara dengan alasan melanggar pelbagai jenama akta.

Kita lihat beberapa kisah melalui hadis dan riwayat sahabat Nabi SAW berkaitan menggunakan harta rakyat atau harta kerajaan.Ada atau tidak sikap Najib seperti kisah ini yang perlu di taati. 

“Sesiapa yang dilantik dikalangan kamu untuk melakukan satu tugas, kemudian dia menyembunyikan harta senilai jarum atau pun lebih dari itu itu adalah harta yang dikhianati yang akan ditanggungnya pada hari kiamat.”Hadis sahih Muslim

"Sesungguhnya manusia-manusia yang menggunakan harta Allah swt dengan cara yang salah akan mendapat seksaan api neraka pada hari kiamat.” - Hadis sahih riwayat Bukhari.

Suatu hari Umar Al-Khattab terlambat keluar untuk solat Jumaat , apabila beliau naik ke atas mimbar beliau meminta maaf kepada para jemaah dan berkata:
“ Baju aku yang menyebabkan lambat (basuh baju). Aku hanya ada satu baju ini sahaja.”

Sesungguhnya suatu hari Umar Al-Khattab keluar ke mimbar dan mengadu sakit. Orang menyatakan bahawa dia perlu makan madu untuk merawat penyakitnya. Dalam baitul mal (tempat simpanan kerajaan) terdapat madu. Lalu Umar berkata: 

“Sekiranya kamu semua izinkan aku mengambilnya aku akan ambil. Jika tidak, haram aku mengambilnya.”
Umar Al-Khattab tidak menggunakan harta rakyat melainkan benar-benar perlu dan dibenarkan oleh rakyatnya.

Pemimpin Malaysia ketika ini adakah bersikap demikian,dan bagaimana dengan Najib dan keluarganya sehinggakan  orang-orang UMNO melafazkan bai'ah wala'.



Tuesday, November 29, 2016

lantik kepala hantu,felda terus rugi



 
  
Kalut ,kusut-masai dan tak keruan, pentadbiran Felda hingga menyebabkan kerugian  adalah disebabkan kepala hantu yang tidak pernah menyumbang terhadap pembangunan tanah air dan negeri, dilantik felda sebagai Ketua Geng  oleh rakan se hantu dengannya kerana kebudian.

Sebelum kepala hantu ini di sumbat ke dalam felda, warga kerjanya berbelanja dengan berhemah demi menjaga kesinambungan kehebatan gah nama felda  ‘bakti disemai bukti dituai’.Warga felda terus ceria menguruskan sumber dalaman tanpa bergantung atau sibuk dengan dunia luar.  Awal kemunculan kepala hantu ini warga kerja felda telah dibayangi dia  sebagai parasit politik dan parasit pentadbir.

Sejak terlantiknya orang yang menjadikan felda sebagai mencari wang tambahan lumayan melalui komisyen atau ganjaran yang dijanjikan atau lebih–lebih lagi bermatlamat menggunakan kesempatan mengembangkan dan mengekalkan sokongan politik, maka hari ini kita lihat felda ke arah ‘satu sen tak berguna’

Oleh kerana  lumrah dunia hendak kiamat maka manusia telah melantik seorang manusia yang tidak pernah melakukan kebaikan untuk memimpin yang dipertikaikan amanahnya. Lihatlah!! sudah pasti si kepala hantu ini telah terbukti berperanan perakus rasuah, dilantik juga sebagai ketua organisasi yang satu masa dulu kaya,teguh dan berbangga dengan keteguhannya. Apa hendak di kata ,mungkin susah hendak cipta kembalikan bubur sebagai nasi.

Tempoh 45 tahun Felda (1956-2001)merupakan satu tempoh pembenaan pengurusan  pembangunan  tanah terbaik, yang membolehkan warganya menikmati keselesaan hidup. Tidak pernah terfikir  ketika dulu menerima durian runtuh RM5000 ke 15000 dan ada manusia berbudi mengumpan kesenangan jangka pendek dengan taburan wang percuma setiap menjelang hari raya dan bonus akhir tahun RM400-RM500 sepeneroka.

Berbelanja besar ini tidak cukup setakat memberi peneroka wang percuma ,tetapi kakitangan juga di tutup mulutnya dengan elaun sekurang-sekurangnya RM1400-RM2000 sebulan mengikut kategori. Kita tidak hairan laporan audit negara berkaitan kewangan felda  mengejutkan semua pehak.

Tidak juga menyangka 112,635 peneroka bahawa sumbangaan percuma selama ini merupakan satu penipuan dan menyiksa peneroka untuk terus berhutang – sedangkan manusia yang mencetuskan idea felda ala jabatan kebajikan/ dermawan terus bergembira menikmati nilai fedah jawatannya.  

Hari ini felda telah diubah  oleh mereka yang biasa memunahkan satu-satu institusi dengan rasuah  dan sentiasa berfikir bagaimana mengutip laba kewangan dari intitusi tersebut.  Oleh itu Felda dari pengurusan  pembangunan tanah ,ekonomi,sosial dan memiliki anak syarikat yang meraih keuntungan, telah diubah kepada pembelian hotel 4 bintang,kondominium, pembelian apartmen mewah di luar negara 

Dana Felda RM538 juta dan RM330 juta telah melayang tanpa halangan .Wang sebanyak itu mampu membangunkan semula tanah peneroka tanpa melibatkan pinjaman luar. Kita tahu dan tidak perlu diberitahu atau nafikan bahawa mereka yang menguruskan tidak berbekalkan dan dibekalkan keikhlasan ‘gigi dan lidah’ sahaja.

Apa yang dipertikaikan mereka yang  jutawan luar negara  dan dalam negara ini tidak terliur untuk memilikinya atau melaburnya di Grand Plaza Serviced Apartment dan Grand Plaza Kensington Hotel di London. Felda dengan kuasa perdana Menteri, dan ditepuk-tepuk bahunya oleh pengerusinya , terus lena dibuai mimpi nyanyian broker dengan lagu keuntungan komisyen.  Individu yang biasa menagih laba daripada projek yang di laksanakan ibarat penagih memerlukan  dadah.

Pelbagai perbelanjaan yang tidak menyokong keuntungan felda terus belaku.Entah pakar ekonomi mana yang mempengaruhi kepala hantu sebagai pengerusinya mewujudkan  Felda Global Ventures .(FGV) dengan tergesa-tergesa dan menyenaraikan di Bursa Malaysia pada 31 December 2013. Yang untung kepala hantu sebagai pengerusinya  di bekalkan saham percuma . Hari ini harga saham RM 1.56 yang peringkat  awal disenaraikan RM 4.45/unit. Peneroka melopong membayar hutang miliki saham dengan potongan pendapatan bulanan 

Menyediakan dana berjuta ringgit bagi membentuk satu pasukkan bolasepak profesional. Yang kesemua ini tidak ada bersangkut-paut dengan tujuan asal felda di tubuhkan dan harapkan jualan tiket perlawanan ,sampai kiamat tidak akan mendatangkan keuntungan.

Idea gila yang kononnya felda ke peringkat global, bertambah gila lagi dengan meranapkan bangunan kompleks felda ,tempat eksklusif dewan perdana yang baru berusia  kurang 30 tahun untuk di ganti dengan pembinaan kediaman  eksklusif..  

Banyak usaha-usaha kepala hantu dalam felda telah berlaku seperti berlakunya kemusnahan yayasan negeri,Negeri Sembilan 30 tahun yang lalu. Kepala hantu ini sebagai pengerusinya yang ketika itu ladang yayasan di Felda Serting Hilir tergadai kepada taukeh cina bagi mencari sumber kewangan. Yayasan yang ketika itu tidak perlu dinyatakan keaibannya.

Yayasan Felda telah menjadi mangsa si kepala hantu ini dengan mengambil kesempatan matlamat yayasan di tubuhkan.Kewangan yayasan  untuk melaksanakan kebaikan sosial dan pendidikan warga Felda seluruh Malaysia, tetapi apa yang berlaku sebaliknya apabila menggunakan sumber kewangan yayasan bagi mengeluarkan bantuan atas nama kawasan parlimen diwakili dan kepentingan sokongan politiknya.

Kini kolej di bawah tadbir yayasan satu demi satu terpaksa ditutup kerana kekurangan sumber kewangan Bagitu juga Asrama Semai Bakti yang suatu ketika dulu berjaya melahirkan anak warga felda melangkah ke menara gading yang tinggal bertahan hanya Asrama Semai Bakti Kuala Lumpur,Kuantan dan Johor Baharu. 

Kemuncak kehebatan felda ketika Raja Alias sebagai pengerusinya telah menjadi nostalgia.Mungkin kakitangan dan peneroka tidak menyukainya kerana tidak 'peragih' .Tidak ada elaun atau bonus setiap bulanan dan tahunan.

Beliau telah berjaya mentadbir felda tanpa bantuan kewangan dari kerajaan.   Sejak dilantik mereka dari kalangan ahli politik felda terus dilanda masalah berkaitan menguruskan kewangan, sosial dan displin peneroka. Ini disebabkan kepala hantu yang ada dalam felda bertindak mencampakkan eksekutif-eksekutif berpengalaman menggantikan kakitangan pengurusan yang baru,yang boleh ditindik hidungnya dan sentiasa mencium tangannya.

Kerajaan yang memerintah meletakkan ahli politiknya bagi mengekalkan sokongan sebanyak 53 kawasan parlimen di kawasan felda.Itulah satu sebab pengerusi nya sanggup berbelanja besar tanpa mengikut prosuder kewangan bagi menjaga hati peneroka sebagai pengundi. Tidak menghairankan perbelanjaan RM148.42 juta dalam laporan audit di tandatangani oleh Pengarah Jabatan Pengurusan Tanah yang tidak mempunyai kuasa,

Perbelanjaan tanpa kawalan berlaku kerana mengikut kehendak pehak atasan,seperti kepala hantu ini tidak selari dengan kepala hantu lebih besar di Putrajaya. Mereka terus membawa felda terus berlagak kaya sebagai dermawan,yang peringkat awal diluluskan RM350/sepeneroka,tiba-tiba dengan semangat meluap-luap kepala hantu tertinggi mengumumkan dalam perhimpunan supaya peneroka diberi RM500/sepeneroka. Peruntukan tambahan RM150.00/sepeneroka perlu di cari sedangkan sumber kewangan terhad.

Berbelanja diluluskan oleh mereka yang tidak mempunyai kuasa sebagai menyelamatkan kepala hantu cuci tangan apabila berlaku sesuatu perkara yang menyalahi prosedur kewangan. Kepala hantu hanya membuat arahan sambil berjalan lalu.

Dasar felda berbelanja untuk sosial peneroka tidak dijadikan masalah sebanyak mana pun .Jarang pertikaikan oleh sesiapa,asalkan ada bukti projek di belanjakan. Oleh sebab itu bajet untuk pembangunan masyarakat boleh diluluskan bila-bila masa.

Sebelum pilihanraya ke 13 berapa banyak wang felda terlambak di agih-agih seperti dermawan  Kasim Baba, kepada peneroka RM 15000/seorang kepada  lebih 112 ribu orang. Perdana Menteri, pengerusi felda berbangga dengan pemberian itu.Wang tersebut hanya sebagai pembasah tekak yang memberi faedah golongan peneroka dalam tempoh jangka pendek . Kita tahu tujuannya untuk meraih simpati undi di 53 kawasan parlimen.

Thursday, November 17, 2016

lakonan 'MUNAFIK' dan berita 'MUTAWATIR'



Individu dalam kerajaan dan sekumpulan orang kerajaan mengeksploitasi kekayaan rakyat dan menggunakannya untuk kegunaan sendiri atau bermegah –mereka membelanjakan untuk projek mewah bagi memperolehi lebih banyak ganjarann komisyen

 


Apa yang berlaku sekarang tidak pernah ditanya atau diungkit oleh rakyat yang memberi kepercayaan total terhadap mereka yang dipilih.Bagi mereka yang menjadi syaitan negara ini berterusan menggunakan alasan pemimpin di pilih rakyat.

 


Dua keadaan yang telah menjadi  kenyataan sedang berlaku dalam negara ini dahsyatnya perilaku rasuah yang membuktikan kerajaan korup dan kenaikan harga barang yang membuktikan kerjaan tidak pedulikan keperluan utama  rakyat. Rakyat merintih kerana kerajaan berterusan mendera kehidupan nya.

 


Perkara ini  ditimbulkan oleh rakyat, bukan kerana berlainan  pegangan politik tetapi menjadi satu kisah benar  yang sedang berlaku .Tindakan tidak berhati perut yang dilakukan oleh kerajaan terutama berkaitan harga barang sememangnya tidak di senangi rakyat.

 


Tidak timbul lagi satu kisah fitnah kerana telah disahkan oleh mahkamah dan di ceritakan oleh media luar dan media dalam negara, yang  jika tidak benar boleh dinafikan dengan saman fitnah.

 


Pengubahan wang haram, rasuah,salah guna kuasa telah menjadi satu berita mutawatir,yang tidak mungkin berlaku satu pembohongan kerana diperkatakan ramai di Malaysia dan luar Malaysia.

 


Bertindak terhadap rasuah masih lagi di peringkat yang dikategorikan ikan seluang  yang apabila kena tangguk tidak menggeletek lagi ,terus ontok. Kita lihat  di dada akhbar dan media elektronik hari ini kakitangan awam yang ditangkap hanya mampu menutup muka kerana malu dan pekerjaannya di gantung . 

 


Yang serakah berbilion ringgit anak beranak masih di benarkan bekerja dan berucap berkobar-kobar dipelusuk negara dan luar negara bertujuan hendak mengalih  tanggapan rakyat daripada munafik kepada sejujur-jujur manusia.

 


Kerajaan kleptokratik negara ini tidak ambil kira mereka yang menerima rasuah kereta mewah, rumah 3 atau 4 unit kondominium dan wang beratus juta, kerana masih ada lagi yang mendabik dada rasuah berbilion ringgit, dan yang mempunyai kuasa ala kuasa tuhan.

 


Kuasanya juga melakukan kerja mempenjarakan pelapor maklumat kemungkaran dan membebaskan pencuri bersama syaitan.

 


Indoknya ini selagi tidak di humbankan dalam penjara dan hartanya di rampas sebagaimana perasuah lain maka selagi itulah tidak melegakan perasaan meluap-luap rakyat.




Kerajaan beraja di mata dan bersultan di hati ini terus berfikir bagaimana mengatasi masalah menguruskan kewangan kerajaan dengan menarik subsidi minyak masak yang  ,secara tidak langsung  telah memperjudikan masalah rakyat dengan beban kenaikan harganya. Sikap persetankan saja tagline ‘rakyat didahulukan’ di ambil oleh kerajaan.

 


Lakonan kerajaan berkaitan harga dan bekalan minyak masih berlaku walaupun telah di uar-uarkan kenaikannya bermula 1 November 2016 yang lalu.



Kosong ruang-ruang minyak masak di supermarket-supermarket,kedai –kedai runcit kerana aktiviti sorok demi keuntungan dihebohkan melalui media.Rancaknya petugas-petugas KPDNKK menjalankan tugas menangkap menggeledah gudang dan setor simpan barang-barang peniaga di viralkan melalui media. Kesemua ini menggambarkan ke prihatinan kerajaan sedangkan harga meningkat tidak di pertontonkan.

 


Kita diperbodohkan oleh kerajaan dengan menembunyikan fakta bahawa punca minyak tersebut di sorokkan kerana jangkaan kenaikan harga demi keuntungan RM7.00 sebotol 5kg .


Minyak peket 1kg tidak menjadi masalah di pasaran kerana tidak ada kenaikan harga,tetapi golongan mana yang menyimpan keinginan memiliki minyak murah tersebut.

 


Orang ramai jarang menggunakan minyak peket  kerana diragui kualitinya. Hanya peniaga-peniaga kecil makanan yang mencari minyak tersebut. Harga minyak masak di dalam botol lebih RM20/botol 5kg, tidak seheboh KPDNKK menjalankan tanggungjawabnya. 



Sekarang ini telah timbul satu golongan manusia di Malaysia ini yang tidak pedulikan kesihatan manusia lain telah mencipta minyak masak kitar semula.

Mungkin perkara ini telah berlaku sebelum harga minyak masak  di naikkan kerajaan, tetapi pencipta minyak masak jenis ini, terus mengambil kesempatan kepincangan bekalan dan harga.

 

Timbul masalah baru bagi orang ramai untuk menentukan yang mana satu minyak masak baru atau minyak masak kitar semula di pasaran, kerana kerajaan sendiri  tidak ada pakar yang boleh memastikannya.

 

Rakyat dijangka akan terus menerima kejutan tindakan kerajaan hapuskan subsidi barang keperluan utama, kerana keadaan terdesak mencari punca kewangan bagi menyelenggara urus tadbir pembayaran yang dijanjikan.