Anak kecil main api. Terbakar hatinya yang sepi. Air mata darah bercampur keringat. Bumi dipijak milik orang.Nenek moyang kaya-raya Tergadai seluruh harta benda. Akibat sengketa sesamalah kita. Cinta lenyap di arus zaman.Indahnya bumi kita ini. Warisan berkurun lamanya. Hasil mengalir ke tangan yang lain. Peribumi merintih sendiri.Masa depan sungguh kelam. Kan lenyap peristiwa semalam. Tertutuplah hati terkunci mati. Maruah peribadi dah hilang. Kini kita cuma tinggal kuasa. Yang akan menentukan bangsa. Bersatulah hati bersama berbakti. Pulih kembali harga diri.

Sunday, June 28, 2015

kerana kepala hantu dividen KPF tidak lebih 10%




Tidak tahu apa bahasa atau jenama hendak diberikan kepada manusia yang kerjanya ligat berfikir bagaimana hendak mencari sumber  kewangan dengan tidak perlu modal atau lebih tepat mencari rezeki terpijak.Di belit dan di putar golongan yang terlibat, dengan pelbagai bahasa ekonomi untuk menghalalkan cara.

Rezeki tersebut  untuk di persembahkan kepada bossnya ,yang hanya di ampu bodek dengan wang atau projek yang mendatangkan wang. Manusia jenis ini saya  jenamakan  beliau  kepala hantu. Kepala hantu ini di lantik Najib  mula berkuasa terhadap Felda lebih 4 tahun.

Dalam tempoh selama  4 tahun Felda hidup dalam kemurungan terutama kakitangan kumpulan tertingginya  hasil didikan pengerusi terbaik Felda - Raja Alias. Mereka di tempatkan dalam freezer sementara menunggu dibesarakan. 

Pengurusan tertinggi yang baru dan juga kakitangan di beri imbuhan elaun dan bonus penenang perasaan  yang tidak masuk akal . Kegelapan  Felda berterusan kepada Koperasi Permodalan Felda ,yang peringkat awal kehadiran kepala hantu ini, mengacau –bilau keteguhan kewangan koperasi.

Hari ini 28hb.June. 2015 telah 2 minggu Koperasi Permodalan Felda telah mengadakan mesyuarat agungnya serta telah meluluskan dividen sebanyak 10%, namun renik-renik bayaran tidak nampak samada di peringkat rancangan atau melalui bank. Berdasarkan pengalaman, mungkin simpanan KPF memerlukan faedah bank 1/2 tahun pertama (June 2015).

Perkara seperti ini tidak pernah berlaku sebelum kepala hantu ini mentadbir Felda dan berjaya mengatur kewangan koperasi yang turut menjejaskan keuntungannya,sehingga tidak berjaya  hendak membayar dividen dan bonus lebih 10%.

Berdasarkan prestasi Koperasi ini sejak mula di tubuhkan  1980 bayaran dividen dan bonus lebih 10% tetapi ketika ini keuntungan telah merosot, kerana gara-gara kepala hantu mengacau serta turut campur urusan koperasi.  

Banyak bukti-bukti  kepala hantu ini tidak senang hati keteguhan kewangan koperasi sejak dia menjadi pelesit dalam Felda.Tambahan lagi ketuanya memuji dan memuja bahawa kepala hantu ini pandai mencari duit. Lagi dia tidak senang duduk berfikir hendak menjahanamkan koperasi  dan dapat sumber kewangan untuk di persembahkan kepada bosnya.

Usaha kepala hantu ini hendak menjadi  ahli koperasi  bertujuan hendak berkuasa terhadap KPF gagal, maka pelan seterusnya ialah menarik balik 51% saham Felda induk yang dilabur dalam Koperasi Permodalan Felda merupakan, usaha pelesit  ini untuk menjahanam koperasi,dengan alasan untuk melabur dalam FGV, yang warga Felda terutama kakitangan maklum, gabungan syarikat itu tidak mendatangkan keuntungan.

Menarik pelaburan KPF dalam syarikat Felda hasil perancangan kepala hantu ini  seperti ,Felda Holdings Bhd ,Felda Palm Industries, Felda Felda Transport Services Sdn. Bhd.  Felda Vegetable Oil Products Sdn. Bhd. Felda Rubber Industries Sdn. Bhd., Felda Marketing Services Sdn. Bhd., Felda Kernel Products Sdn. Bhd. Felda Engineering Sdn. Bhd. Felda Security Services Sdn . Bhd. Felda Agricultural Services Felda Prodata Systems Sdn. Bhd. menjadikan Koperasi  hilang arah untuk mengawal  dan mengekalkan  keuntungan lebih 33 tahun yang lalu.

Kehadiran kepala hantu ini tidak diundang oleh ahli koperasi  tetapi adalah hasil undangan Najib untuk mencari dana kewangan FGV bagi di senaraikan ke Bursa Malaysia.Hasil mengacau Koperasi  kepala hantu ini telah berjaya memperolehi  kewangan sebanyak, RM2,200,000,000.

Kepala hantu ini telah berjaya menggagalkan tujuan asal koperasi ini di tubuhkan adalah untuk warga Felda memiliki ekuiti dalam syarikat-syarikat FELDA serta wadah simpanan dan pelaburan jangka panjang.

Sekarang ini syarikat-syarikat Felda telah jahanam dalam FGV kerana kegolojohan kepala hantu hendak memaparkan kebijaksanaannya kepada bossnya, maka  menyenaraikan  FGV dalam Bursa Malaysia ,walhal dari segi kewangan FGV yang ketika itu baru setahun jagung, dan kiranya FGV syarikat bukan GLC , tidak layak disenaraikan ke Bursa Malaysia. Lihat hari ini berapa nilai sahamnya di Bursa Malaysia(1.68).

Sebelum ini kepala hantu ini telah menipu peneroka dengan pembelian saham FGV bernilai RM4.55 /seunit dengan pinjaman bank serta menyanyikan dengan durian runtuh wang tunai.Sekarang peneroka terpaksa bayar bulanan kepada Felda RM50/sebulan melalui potongan pendapatan kerana saham FGV jatuh – jual rugi ,beli mati.

Kenapa rakyat masih menyimpan lagi kepala hantu ini, terutama warga Jempol . Najib tidak perlu kita pertikaikan, wakil rakyat kitar semula ini, kerana berkeadaan  termakan budi. Selagi kepala hantu ini ada dalam Felda, Koperasi Permodalan Felda tidak berkedudukan selamat kerana kepala hantu ini sentiasa mencari sumber kewangan sebagai ufti untuk bossnya.

Syarikat-syarikat felda yang masih bersama Koperasi yang tinggal 4 buah syarikat subsidiari  yang daya keuntungannya beresiko  besar mengalami kerugian.Inilah hasil demdam kesumat kepala hantu yang ingin melihat KPF hancur kerana gagal menerimanya sebagai ahli.

Tuesday, June 23, 2015

orang tua di pinggir lubang



Dalam cerdik ada bangang.Kadang-kadang bangangnya tidak memadan dengan orang yang dulunya cerdik satu negara dan terkenal di hati dan mata setiap manusia di Malaysia. Ibarat roda, dulu cerdik di atas,manakala bangang di bawah.Sekarang bangang di atas cerdiknya di bawah.

Pusingan ini sudah lumrah alam dan seluruh isinya.Bagitulah kita sebagai manusia yang dikatakan makhluk terpilih menjadi khalifah tidak terkecuali  berlaku keadaan  yang pada pandangan mata mengaibkan.

Oleh sebab itu kita tidak usah mendongak selalu dan medabik dada mencabar serta menepuk meja bertitah, kerana kita seorang pemangsa. Lupa kita bila kaki telah patah,kuku telah tercabut ,yang ketika ini mangsa pula menjadi pemangsa.

Kesemua keadaan ini telah berlaku,sedang berlaku dan akan berlaku,cuma yang pelakunya tidak sedar apa yang berlaku terhadap dirinya. Yang dulu mungkin tidak menyangka, perkara ,perkataan dan idea bangang akan berlaku terhadapnya.

Bagitulah yang telah berlaku terhadap ‘orang tua dipinggir lubang’ yang sekarang merepek-repek tidak tentu apa yang dicakapnya,bagai ‘budak merah’ yang baru belajar bercakap,tidak tahu apa butir-butir atau makna apa yang dituturkannya.

Orang tua ini telah menganggap membina lebuh raya,bangunan tinggi negara,dan pembinaan kilang kereta adalah milik kekalnya dan hasil duit titik peluhnya.Cakap gilanya ini bukan cakap merapu tetapi telah hilang fikirannya bahawa kesemua warisan negara dibawah pentadbiran perlu dimusnahkan kerana marahkan Najib.

Kini memainkan peranan memburukkan negara melalui media luar yang dulu dia sendiri tidak suka orang bersikap demikian.Kita percaya orang di pinggir lubang ini tidak akan berpuashati selagi Najib duduk senang di Putrajaya.

Malaysia bernasib baik tiga PM sebelum ini tidak gila seperti orang tua ini, menyuruh memusnahkan apa yang ada warisan pentadbiran semasanya dan mengacau bilaukan orang lain menjadi Perdana Menteri. Kiranya wujud seorang lagi seperti dia ini berkemungkinan dia tidak sampai 5 tahun jadi PM.

Yalah, manusia Malaysia  semua tahu orang tua ini memang tidak semenggah semasa berada sebagai orang No.1 Malaysia .Semua Timbalannya habis di campakkan sebelum mereka  naik menggantikannya. 

Kini usia ‘kubur kata mari, rumah kata pergi, masih belum bertaubat menghancurkan karier politik orang,, pemusnah kuasa raja, yang bersikap seperti  firaun berterusan hingga ke pencen.

Semasa berkuasa pemusnah Timbalan Perdana Menteri . Sudah pencen  ingin berkhidmat memusnahkan jawatan Perdana Menteri. Kita maklum Abdullah Badawi, menjadi mangsa hasutan singkir yang pertama. Kini Najib dalam proses penghancuran jawatan.

Nasib baik dia  tidak sempat menggubal undang-undang bahawa “Bekas PM di Malaysia yang masih hidup di bolehkan melantik,PM yang baru, bersetuju ,serta berkuasa menyingkirkannya PM yang ada kiranya tidak berpuas hati.

Kita  tidak  tahu apa yang ada dalam perut dan otak orang tua ini, yang mempunyai sikap’ Agi Idup Agi Ngelaban'.berkaitan rasa hatinya yang dianggap sentiasa betul dan memaksa orang lain mengikut idea nafsunya.


Nafsunya menyuruh dan memaksa orang lain memelihara kesinabungan idea pentadbiran 22 tahun lalu.Menganggap semua PM selepasnya berotak lembu yang hanya pandai makan dan berak.


Kita sama-sama berdoa agar manusia tepi lubang ini segera mengunci mulut yang hanya membuka ketika membaca Quran dan wirid sebelum di tolak Allah ke dalam lubang.

Friday, June 19, 2015

aib di gelanggang sendiri.




Meletak jawatan secara sukarela bukan pengecut, tetapi sebagai jurulatih bertanggungjawab terhadap kekalahan dan kemenangan sesuatu pasukan.Kekalahan yang memalukan negara Malaysia dalam perlawanan bolasepak 0-6 kepada Palestin menunjukkan jurulatih dan pemain dalam kategori  tongong dalam bolasepak.Malaysia aib di gelanggang sendiri.

Semasa bola sepak Malaysia dalam era amatur dan liga negeri-negeri  kita banyak dan boleh memenangi peringkat asia serta terpilih ke Olimpik 1968 dan 1980, tempat ketiga sukan asia 1972 dan 1974. Kali ini bola sepak Malaysia telah masuk 22 tahun dalam era professional, rangking terus jatuh ke tempat 166 dunia. Kini di aibkan pula oleh pasukan yang negaranya huruhara. Apa hendak di jenamakan kelasnya pasukan negara.

Dalam keadaan pasukan yang terambang-ambing jurulatih merupakan punca anak buahnya menjadi pasukan yang tidak reti bermain.Semangat yang cepat luntur seolah –olah tidak kisah untuk berkhidmat kepada negara, kerana berkhidmat untuk kelab lebih menguntungkan.

Sikap pemain tidak menunjukkan kesungguhan bermain untuk pasukan negara adalah disebabkan adanya kelab yang menanti  dan menawarkan bayaran lumayan maka tidak kisah mereka tidak terpilih sebagai pemain kebangsaan.

Apa yang berlaku ketika jaringan 6 gol dilakukan oleh Palestin, kita kesal kerana tidak nampak sedikit  pun tentangan atau halangan dari pemain bahagian pertahanan Malaysia. Pemain hanya mampu melopong dengan mimik muka   kesal sambil menepuk dahi..Inilah  bukti tidak ada nilainya satu pasukan.

Contohi jurulatih kelab-kelab profesional luar negara sanggup meninggalkan kelab yang dilatihnya kiranya prestasi  pasukan bimbingannya merosot ,walaupun pendapatan untuk jawatan tersebut berjuta dollar. 

Mereka mementingkan moral atau harga diri sebagai  seorang  jurulatih profesional bola sepak.  Jurulatih pasukan Malaysia dan jurulatih kelab-kelab di Malaysia tidak sanggup berbuat demikian,kerana kepentingan cari makan. Sedikit pun tidak ada kekesalan dan malu kepada peminat atau rakyat Malaysia malahan masih mampu tersenyum membuat kenyataan akhbar.Di jolok tidak gugur di tebang tak rebah.

Peranan jurulatih merupakan salah satu faktor kemerosotan pasukan negara yang kini kehausan ke peringkat antarabangsa ke kedudukan 100 kebawah sebagaimana pada tahun 1993,Malaysia di tempat ke 75.

Oleh kerana jurulatih dan pemain tidak mahu bertanggungjawab terhadap kekalahan lebih banyak dari kemenangan, maka sebaik-baiknya pengurusan persatuan bola sepak meneliti dan bertindak menyingkirkan jurulatih dan pemain tanpa menunggu mereka bersikap sukarela berundur. 

Malaysia perlu mengorak langkah baru, dengan tidak memilih jurulatih yang telah di kategorikan  recycle berulangkali dek kerana adanya pasukan yang dilatihnya membawa kemenangan maka dipilih melatih pasukan kebangsaan.

Mewujudkan pasukan khas kebangsaan yang pemain-pemainnya tidak terlibat dengan pasukan kelab tempatan yang bergaji akan melahirkan kesetiaan kepada satu pasukan iaitu pasukan negara  sahaja.Pemain pasukan negara perlu diberi imbuhan bulanan berdasarkan apa yang ditawarkan oleh kelab tempatan.

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) perlu memiliki presiden dan krunya yang bertanggungjawab terhadap kemerosotan bola sepak sebagaimana jurulatih dan pemain perlu undur atau diundurkan.Gelaran Harimau Malaya atau Gajah Malaya tidak bernilai  kiranya pasukan  sering di aibkan oleh skuad lawan.

Tuesday, June 9, 2015

ramai penyokong tidak semestinya betul.




PAS ,DAP dan PKR hendak tidur sebantal tetapi badan-badan mereka  masih berbau busuk. PAS mendakwa bau badan DAP busuk yang membuatkan mereka tidak senang lena hendak tidur bersama manakala PKR juga tidak mahu tidur sebelah PAS dengan alasan yang sama.

Nampaknya mereka sudah mula  kepala sebantal, badan sendeng kiri dan sendeng  kanan, berkeadaan gelisah  sambil merungut-rungut  yang tidak diketahui butir-butirnya.Tidak tidur melentang sama-sama ke arah siling berbincang dan berfikir hendak menambat hati penyokong mereka yang 52 % yang lalu.Mungkin 5 Mei 2013  itulah kali terakhir  mereka mengukir senyum sebelum tertidur sampai pagi .

Biasalah manusia yang masing-masing ada pendirian dan rupa, yang tidak sama bulu dan bentuk serta mustahil bentuk lonjong ,bulat dan pipih ingin mengubah  bentuk yang sedia ada kerana bentuk-bentuk tersebut adalah keperluan alam  ini.

Mencari  titik persamaan  ini yang telah menjadi penghalang kepada tiga kompenan parti yang hancur bila-bila sedangkan bersatu sukar diramal. Kepala atau ketua parti masing-masing melontarkan bait-bait kata yang boleh merungkai penyatuan.Penadol yang dimakan hanya menghilangkan pening kepala manakala pisau merobek luka-luka di jari, serta di dada dan badan tidak dapat dicampakkan.

Seminar yang berlansung  dan pemilihan pemimpin PAS sudah mula menunjukkan belang warna mana yang banyak. Belang-belang tersebut telah mempengaruh pucuk pimpinan baru untuk memandu kereta lebih laju  jarak nya dari bau hangit DAP. Kita tengokkan adakah tidak menghidu ketiak DAP itu akan bertambah harum PAS dan berjaya menambat hati ramai rakyat Malaysia.

Itulah apa yang berlaku sepanjang hari melalui media Malaysia tentang beberapa masalah terhadap parti-parti dalam Pakatan yang telah susah bermuafakat.Ketua-ketua mereka sentiasa melahirkan hujah yang tidak ada nilai pakatan melalui media.Pakatan memiliki seorang ketua yang tidak bersikap ketua  dan mereka hanya beremosi  dan melahirkan emosi  yang tidak boleh menambat kembali  perpaduan. 

PAS umpamanya ,yang di katakan memiliki  ketua berprinsip islam,yang berkeinginan mewarisi kepimpinan Nabi SAW  masih jauh tersasar lenggok Nabi SAW terutama berkaitan hubungan sederhana terhadap ketua bukan islam  dan komunikasi berlembut terhadap sesama islam dan bukan islam.

Parti ini juga menjadi sasaran kelonggaran perpaduan oleh media kerajaan yang sedia ada yang bertujuan merobek- robek biar lebih hancur dan punah agar lebih mudah terus menerajui pengundi-pengundi melayu   untuknya,(UMNO) dalam masa  sama menguntungkan MCA dan MIC.

Ketua dalam pakatan terutama PAS tentu sedar apa yang dilakukan hari ini, sekiranya masih berterusan undi yang 52% akan berpindah-pecah.Jangan teruskan parti kita duduk dalam tempurung atau dalam raga yang kawasan kelilingnya hanya mampu tempat duduk melepaskan penat.

Sekiranya Malaysia rakyatnya bersifat seperti 56 tahun yang lalu kita boleh bekerja dan berbincang ikut telunjuk kita ,walaupun dinamakan perbincangan, kerana rakyat selain orang melayu hanya menjadi 'pak turut'. Hari ini melayu dan islam terpaksa menerima hakikat bahawa bangsa lain ada hak menentukan pentadbiran negara.Sokongan mereka terpaksa ada dalam setiap parti politik yang wujud dalam negara ini.

Campakkan sifat menyalahkan orang lain sebagai pemecah-belahkan parti. Kita atau setiap individu beperanan menjadi parasit parti. Menganggap kita sahaja yang betul kerana mendapat sokongan ramai berperanan besar menghancurkan parti.